headerbaru
PERHATIAN!!!!....KEPADA KAWAN2 YANG SINGGAH DI BLOG NI SILA TINGGALKAN URL BLOG MASING2 YA SUPAYA SENANG SAYA NAK JEJAKI....TERUTAMA KEPADA FOLLOWERS SAYA...TQ!!

Jom Klik MyHB

Followers

Intipan Ziarah

Sabtu, Mac 19, 2011

~ Kampung Boy ~

Assalamualaikum....salam ceria...
cuaca mendung lah pagi ni..line tenet pun slow jer...boring betul kalau line slow macam ni....nak upload satu gmbr pun kena tunggu lama....

Hah!...korang mesti tengok rancangan kartun Kampung Boy kan???Aku suka kartun tu...bukan aku saja satu family aku suka tengok..my hubby,kakak dan adik...kalau tgk kartun tu dah tak bagi tukat siaran lain dah..terutama si adik tu...
Pagi ni baba paper Kosmo Online...jumpa pasal Datuk Lat dan Kampung Boy nya....wah!...sekarang ni nak buat teater Muzikal pulak ya....
 Jom kita baca berita Datuk Lat kat Kosmo....

Kampung Boy,komik ke Muzikal

KOMIK adalah merupakan bahan bacaan yang paling digemari ramai sama ada golongan kanak-kanak atau pun dewasa. Ia digemari kerana jalan ceritanya yang mudah serta pelbagai gambar yang menarik.


Tidak dinafikan, masyarakat kita sering dilambakkan dengan komik luar seperti dari Jepun. Antaranya seperti komik Doraemon yang dihasilkan oleh kartunis Fujio F. Fujiko atau pun menggemari Yoshito Usui yang telah mencipta komik Crayon Sin Chan.

Bagaimanapun, negara kita sebenarnya turut memiliki seorang insan istimewa yang boleh dianggap sebagai ikon kepada kartunis yang ada pada hari ini.

Insan tersebut adalah Datuk Mohd. Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat. Beliau juga adalah abang kepada pengarah filem terkenal negara iaitu Mamat Khalid.

Jika adiknya lebih popular dengan menghasilkan filem-filem yang digemari ramai, beliau pula sememangnya sangat dikenali sebagai seorang kartunis yang hebat dengan karakter ciptaannya, Lat dan kawan-kawan.

Karakter tersebut dilakar kemas dengan penceritaan yang menarik dalam komik The Kampung Boy, sebuah novel grafik yang cukup popular dengan jalan cerita mengenai kisah kehidupan kanak-kanak di kampung pada era 70-an dan 80-an.

Apa yang mengagumkan, komik tersebut bukan hanya popular di negara ini, malah ia turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa sehinggakan nama Datuk Lat turut dikenali oleh para kartunis di luar negara.

Menyingkap serba sedikit mengenai pelukis komik tersohor itu, beliau dilahirkan pada 5 Mac 1951 dan berasal dari Kota Baru, Perak. Bapanya merupakan kakitangan kerajaan berjawatan kerani, manakala ibunya pula adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

Mengenai gelaran 'Lat' melekat sehingga ke hari ini, ia berasal dari gelaran 'Bulat' yang diberikan kepada keluarganya memandangkan fizikalnya yang bulat, tetapi kemudiannya dipendekkan menjadi Lat oleh rakan-rakannya.

Boleh dikatakan pembabitan Lat dalam bidang lukisan sebenarnya bermula sejak usia kanak-kanak lagi. Ayahnya adalah antara individu yang mengesan bakat dan minat yang dimilikinya serta banyak memberi sokongan kepada beliau.

Menariknya, beliau turut membantu menyumbang kepada pendapatan keluarganya apabila menjual kartun-kartun yang dihasilkan kepada akhbar dan majalah.

Malah, dalam usia yang cukup muda iaitu semasa berusia 13 tahun, beliau berjaya menghasilkan komik sulungnya berjudul Tiga Sekawan: Menangkap Penchuri yang diterbitkan oleh Sinaran Brothers pada tahun 1964.

Empat tahun kemudian, beliau telah mula menghasilkan Keluarga Si Mamat, sebuah siri komik untuk Berita Minggu dan ianya berterusan selama 26 tahun.


Wartawan jenayah

Setelah mendapat keputusan peperiksaan Senior Cambridge yang kurang memberangsangkan semasa di tingkatan lima sehingga tidak layak meneruskan pelajaran ke tingkatan enam, Datuk Lat akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1970.


Hasratnya untuk berhijrah diiringi dengan satu hasrat yang begitu tinggi iaitu mahu memohon pekerjaan sebagai kartunis sepenuh masa di akhbar Berita Harian yang banyak menyiarkan karya kartunnya sebelum ini.

Bagaimanapun, hasratnya itu tidak tercapai disebabkan tiada kekosongan pada masa itu. Sebaliknya, beliau tidak mempunyai sebarang pilihan yang lain dengan terpaksa menerima jawatan yang ada iaitu sebagai wartawan jenayah di akhbar New Straits Times.

Di samping kerjaya barunya itu, beliau masih tetap meneruskan minatnya melukis kartun. Tetapi sepanjang bergelar wartawan jenayah juga beliau sebenarnya mengalami kesukaran menyesuaikan diri sehingga pernah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan kembali semula ke kampung halamannya di Ipoh, Perak.

Namun begitu, nasib Datuk Lat mula berubah pada tahun 1974 apabila sebuah majalah Asia Magazine yang bertapak di Hong Kong telah menyiarkan kartun mengenai bersunat. Lebih menarik lagi, kartun berkenaan turut mendapat perhatian ketua penyunting New Straits Times, Tan Sri Lee Siew Yee.

Apabila diberitahu bahawa beliau sebenarnya sudah pun bekerja dengan akhbar berkenaan, beliau terus dipanggil ke pejabat Siew Yee sehinggalah akhirnya berjaya menjadi kartunis dengan tugasan pertama merakamkan kebudayaan Malaysia dalam siri kartun Scene of Malaysia Life.

Kemudian kehidupan beliau juga turut berubah selepas itu setelah karya komiknya semakin menjadi kegemaran segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Impiannya untuk menjadi seorang kartunis profesional sepenuh masa akhirnya tercapai.

Salah satu komiknya yang paling mendapat sambutan sudah tentu adalah The Kampung Boy yang diterbitkan pada tahun 1979. Ia merupakan sebuah komik autobiografi yang dilukis oleh beliau tentang zaman kanak-kanaknya di kampung.

Ternyata komik berkenaan mendapat sambutan yang cukup hangat dan difahamkan terjual sebanyak 60,000 hingga 70,000 salinan dalam tempoh empat bulan selepas keluar di pasaran. Sehingga tahun 2009, komik itu telah dicetak semula sebanyak 16 kali sehingga menjulang beliau sebagai kartunis paling masyhur di Malaysia.

Tersohor di luar negara

Semenjak bergelar kartunis profesional, pelbagai kejayaan memberangsangkan yang telah diraih oleh Datuk Lat. Biarpun banyak komik yang telah dihasilkan beliau, namun The Kampung Boy yang telah mempopularkan namanya dan memberi fenomena baru kepada dunia komik tanah air.

Selain diminati ramai, komik berkenaan turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, ia telah terbit dalam 13 bahasa, seperti Jepun, Korea, Brazil, Sepanyol, Itali, Jerman dan Arab serta versi Amerika, Australia dan Thailand.


Melihatkan kepada populariti yang diraih oleh The Kampung Boy, ia juga telah diadaptasi menjadi siaran animasi sebanyak 26 episod yang disiarkan di saluran Astro. Malah, ia turut dialih bahasa untuk tayangan di beberapa buah negara seperti Jerman, Perancis dan Jepun.

Apa yang menariknya, beliau bukan sahaja dikenali masyarakat di negara ini tetapi namanya sering menjadi sebutan pelukis di luar negara. Misalnya, pengasas kartun The Simpsons, Matt Groening menyifatkan Kampung Boy sebagai satu buku komik terbaik sepanjang zaman.
Sergio Aragones yang merupakan pengasas kartun Groo the Wanderer pula telah mengambil inspirasi gaya ilustrasi bentuk hidung yang menjadi identiti eksklusif Datuk Lat dan digunakan untuk satu watak dalam karyanya yang dinamakan Lat.


Ketika berkunjung ke Jerman untuk melancarkan The Kampung Boy edisi bahasa Jerman di pesta buku terbesar dunia, Frankfurt International Book Fair 2008, beliau turut dianugerahkan oleh German-Malaysian Society dengan pengiktirafan Sumbangan Paling Menyerlah dalam Mempromosi Kefahaman Budaya antara Malaysia dan Jerman.

Sambutan hangat

Berdasarkan kejayaan yang diraih oleh pelukis yang dilabel sebagai Bapa Kartun Malaysia Kontemporari itu, buat julung-julung kalinya satu pementasan teater muzikal berjudul Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) akan dipentaskan di Istana Budaya.

Teater muzikal berkenaan mengisahkan kehidupan Datuk Lat yang bermula sejak zaman kanak-kanak ketika membesar di kampung sehingga beliau menjadi seorang kartunis yang dikagumi di seluruh negara dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Ia telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Tall Order Production (TOP) serta mendapat kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Ia dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya bermula 16 Mac hingga 5 April 2011.

Diangkat daripada novel grafik Kampung Boy, ia juga mendapat perhatian istimewa apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersedia untuk menjadi penaung kepada pementasan teater berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron berkata, idea untuk menghasilkan pementasan teater muzikal berkenaan timbul berdasarkan kejayaan novel grafik The Kampung Boy yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.

Jelasnya, begitu juga dengan sumbangan Datuk Lat yang telah mempromosikan budaya serta kehidupan harmoni masyarakat berbilang bangsa di Malaysia dan sewajarnya pementasan tersebut dihasilkan sebagai satu bentuk penghormatan kepada beliau.

“Saya akui bahawa antara cabaran getir yang terpaksa dilalui oleh pihak ITNM untuk menghasilkan pementasan muzikal ini adalah untuk mendapatkan persetujuan daripada Datuk Lat sendiri.

“Setelah mengadakan beberapa siri pertemuan, akhirnya beliau memberi persetujuan dengan syarat. Antara syaratnya beliau pementasan itu harus berkonsepkan muhibah sama ada di kalangan pelakon dan termasuk kru di belakang tabir,” ujarnya.

Menurut Khir lagi, muzikal ini juga dilihat mampu untuk memberi gambaran mengenai kehidupan masyarakat kampung dahulu yang tidak pernah dirasai oleh kebanyakan generasi pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani pula meluahkan rasa gembiranya apabila teater berkenaan akhirnya dapat dipentaskan setelah pernah tertangguh sebelum ini.

“Pada asalnya, pementasan ini berlangsung sehingga 3 April sahaja, tetapi ia telah ditambah selama dua hari lagi bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menontonnya,” ujarnya.

Teater muzikal yang diarahkan oleh Hans Isaac dan Harith Iskander ini turut dibarisi beberapa orang pelakon popular seperti Awie, Atilia, Jalil Hamid serta ramai lagi dengan kos keseluruhan RM 3 juta.

Sebanyak 14 buah lagu dipersembahkan dalam pelbagai genre yang dihasilkan oleh Michael Veerapan serta lirik yang ditulis oleh Adlin Aman Ramlie untuk lagu bahasa Melayu dan Harith Iskander untuk bahasa Inggeris.



Datuk Lat dan Awie


Awie (kiri), Hans Isaac, Harith Iskandar dan Douglas Lim antara yang terbabit dalam LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal.


Tiada ulasan :

Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers